Sunday, July 18, 2010

MALU KALAU BANGUN HANYA TENGOK BOLA

Kebiasaannya, waktu tengah malam merupakan waktu yang paling sukar bagi kita untuk bangun. Apatah lagi untuk melaksanakan solat tahajjud. Bagaimanapun, kerancakan piala dunia yang memasuki separuh akhir memungkinkan para peminatnya gagah bangun tengah malam bagi menonton pasukan pilihan mereka beraksi. Sayangnya “kekuatan” itu kerap digunakan semata-mata untuk menyiapkan kerja pejabat, menonton filem, berborak atau menyaksikan perlawanan bola sepak. Alangkah baik jika dalam kita menonton bola sepak waktu tengah malam, disertai dengan qiamullail.

Dengan mendirikan solat tahajjud kita dapat menzahirkan rasa cinta dan mendekatkan diri kepada Allah di suasana yang hening dan di saat orang lain sedang lena dibuai mimpi indah. Allah berfirman yang bermaksud: Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (al-Israk:79)

Soalan: Bola sepak ini adalah salah satu cabang sukan yang diharuskan. Bagaimana kita dapat menjadikan menonton Piala Dunia ini juga sebagai ibadat?

Dalam konteks Islam, bola sepak termasuk permainan yang didalam al-Quran disebut dengan istilah “laib”. Perkataan itu sendiri bermaksud permainan. Dalam Islam, sukan termasuk perbuatan yang mubah hukumnya sepanjang tiada unsur yang mengharamkannya dalam permainan itu. Kebolehan ini juga dibatasi selama tidak mengakibatkan tertinggalnya satu kewajipan sama ada yang menjadi pemainnya mahupun yang menjadi penyokongnya.
Sudah sepatutnya demam bola sepak Piala Dunia dijadikan momentum yang tepat untuk kita memulakan lembaran hidup kita dengan secara istiqamah mendirikan solat tahajjud setiap malam. Kita boleh menjadikan Piala Dunia sebagai titik tolak meningkatkan kualiti keperluan spritual kita dengan mendirikan solat tahajjud. Tentu kita akan merasa malu kepada Allah jika kita sanggup bangun tidur pada malam hari untuk menyaksikan bola sepak, tetapi tidak berdaya mengerjakan solat tahajjud.

Kita perlu ambil hikmah atau pelajaran daripada penggantian malam dan siang. Guna hati dan akal yang kita miliki. Jangan sampai ia menjadikan kita buta hati kerana ia merupakan bencana yang paling dahsyat. Firman Allah yang bermaksud: Allah menggantikan malam dan siang. Sesunngguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang yang mempunyai penglihatan. (an-Nur:44)

Soalan: Solat tahajjud walaupun hanya dua rakaat tetapi ramai yang lalai melaksanakannya. Apa pesanan Rasullullah SAW dalam hal ini?

Solat tahajjud adlah salah satu ibadah sunah yang banyak dilalaikan oleh kaum muslimin. Walhal, ibadah sunat ini berada setingkat di bawah ibadah wajib solat lima waktu. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan umatnya untuk melakukan solat tahajjud. Ia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat 1-4.
Nabi SAW mengajak kita berlumba-lumba mengerjakan solat tahajjud. Baginda juga tidak sahaja bersungguh-sungguh tetapi istiqamah (konsisten) dalam melaksanakan solat tahajjud, sekalipun dalam keadaan sakit. Padahal dosa-dosa baginda, yang lalu dan akan datang telah diampuni. Ini menunjukkan bahawa solat tahajjud sangat penting dan pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT. Bagaimana pula kita yang banyak dosa ini tetapi malas solat tahajjud?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung ataukah orang-orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat tuhannya? Katakanlah, “apakah sama orang –orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui”? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (az-Zumar:9)

Rasullullah SAW menganjurkan kepada kita, “Lazimkan dirimu untuk solat malam kerana hal itu tradisi orang-orang soleh sebelummu, mendekatkan diri kepada Allah, menghapuskan dosa, menolak penyakit dan pencegah dari dosa”. (riwayat Ahmad)

Jika kita ingin mendapat kemuliaan di sisi Allah dan di mata manusia, amalkan qiamullail secara istiqamah. Beruntunglah kita kerana saat ini belum meninggal dunia dan masih sihat walafiat. Masih ada kesempatan untuk memperbaiki diri. Untuk itu, marilah kita malam ini, bertekad mulai menegakkan solat tahajjud. Wallahua’lam.

No comments: